Sejarah

SEJARAH TENTANG SEKOLAH

SMU (A) Nurul Huda ditubuhkan pada 18 Oktober 1964 iaitu pada hari Ahad oleh seorang tokoh agama yang terkenal di kampung Kajang Sebidang iaitu Allahyarham Alhaqirul-faqir Wan Ahmad bin Wan Abdullah. Beliau adalah anak watan kampung Kajang Sebidang, Tumpat, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan agama di sebuah sekolah pondok di Pattani, Thailand. Setelah menamatkan pengajian secara pondok di Pattani, beliau kembali ke tanah air dan menyambung pengajiannya di Sekolah Agama Rakyat Nurul Huda, Teliar, Bunut Susu Pasir Mas, Kelantan.

Rajah 1.1: Allahyarham Alhaqirul-faqir Wan Ahmad bin Wan Abdullah
Semasa belajar di Sekolah Agama Rakyat Nurul Huda, beliau telah  bercita-cita untuk menubuhkan sebuah sekolah agama di kampung kelahirannya. Setelah menamatkan pengajiannya, beliau telah mengambil inisiatif dengan mengadakan perbincangan bersama penduduk kampung bagi mendirikan sebuah sekolah. Satu jawatankuasa perancang telah dilantik untuk mencari tapak tanah yang sesuai untuk membina bangunan sekolah. Akhirnya seorang penduduk kampung iaitu Encik Omar bin Nawang sudi menjual tanahnya seluas ¾ ekar dengan harga RM400.

Setelah mendapat tapak tanah yang sesuai, Allahyarham dan orang-orang kampung mengadakan gotong-royong bagi membina bangunan sekolah. Hasil daripada gotong-royong tersebut sebuah bangunan sekolah berdindingkan buluh, beratapkan rumbia dan berlantaikan tanah telah berjaya dibina. Bangunan tersebut terdiri daripada 4 kelas dan 1 bilik guru, di mana keluasannya adalah 80x16 kaki persegi.

 Rajah 1.2 : Warga SMU (A) Nurul Huda bersama Pengasas
Kumpulan pertama pelajar sekolah ini terdiri daripada 50 orang pelajar dan sesi pengajian diadakan di sebelah petang iaitu dari pukul 2 hingga 4 petang. Para pelajar terdiri daripada anak-anak penduduk kampung Kajang Sebidang dan kampung-kampung di sekitarnya.

Pada tahun 1970 bangunan sekolah ini telah ditambah baik secara keseluruhannya di mana atapnya telah digantikan dengan bumbung asbestos manakala dindingnya telah diganti dengan dinding kayu dan lantainya telah dikonkrit. Sumber kewangan untuk membaiki sekolah ini adalah daripada bantuan kerajaan pusat dan derma dari orang ramai.

Dari tahun ke tahun berlaku penambahan bilangan pelajar. Kesan daripada penambahan ini satu bangunan baru telah dibina yang berfungsi sebagai bilik pengetua dan bilik guru. Pada tahun 1974, JASA telah mengambil alih pentadbiran Sekolah-sekolah Agama Rakyat termasuklah SMU (A) Nurul Huda. Namun pada tahun 1979, pentadbiran SMU (A) Nurul Huda telah diambil alih oleh Yayasan Islam Kelantan bersama-sama Sekolah Agama Rakyat yang lain di negeri Kelantan.

Akibat banjir pada tahun 1984, dinding papan bilik darjah telah reput dan digantikan dengan dinding konkrit. Peruntukan untuk membaik pulih bangunan ini diperolehi daripada Yayasan Islam Kelantan. Pada tahun 1985, Yayasan Islam Kelantan telah menyumbangkan sejumlah wang untuk menggantikan siling dan membina pagar sekolah.

Pada awal 1987, SMU (A) Nurul Huda telah mendapat bekalan elektrik. Dengan adanya kemudahan ini, proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan dengan lebih selesa dan lancar. Pada tahun 1988 bantuan modal sebanyak RM30 ribu telah diterima dari kerajaan pusat untuk membina tandas dan kantin. Manakala pada tahun 1989, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberi bantuan modal sebanyak RM50 ribu untuk membina sebuah bangunan sekolah yang terdiri daripada 4 kelas.

Pada tahun 1996, Yayasan Islam Kelantan telah memberi peruntukan sebanyak RM30 ribu untuk membina sebuah lagi bangunan sekolah yang juga terdiri daripada 4 kelas. Oleh yang demikian, SMU (A) Nurul Huda telah mempunyai 2 buah bangunan sekolah yang berfungsi sebagai kelas dan bilik guru, 1 unit kantin dan juga tandas. Dari semasa ke semasa, banyak perubahan telah berlaku di SMU (A) Nurul Huda samada dari segi pembangunan mahupun akademik.
 Pada tanggal 12 Ogos 2008 maka termeterailah perjanjian (MOU) di antara kerajaan negeri Kelantan yang diwakili oleh YB Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Menteri Pelajaran pada waktu itu, Dato’ Hishammuddin bin Tun Hussein yang bertempat di dewan Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan. MOU tersebut mengandungi perjanjian antara kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan Malaysia yang menyatakan bahawa sejumlah 20 buah Sekolah Agama Rakyat telah didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah  Kementerian Pelajaran Malaysia. SMU (A) Nurul Huda merupakan salah sebuah Sekolah Agama Rakyat yang didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.


MURID TUA YANG TERKENAL



                   


Ustaz Yahya bin Daud merupakan di antara bekas pelajar SMU (A) Nurul Huda yang terkenal. Beliau dilahirkan pada 26 Februari 1965 di kampung Kajang Sebidang, Tumpat, Kelantan. Beliau merupakan anak kedua daripada lima orang adik beradik. Beliau juga mempunyai pertalian saudara dengan Allahyarham Alhaqirul-faqir Wan Ahmad bin Wan Abdullah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Bendang Pak Yong. Kemudian beliau menyambung pengajian peringkat menengah di SMU (A) Nurul Huda pada tahun 1976-1979 iaitu dari peralihan hingga tingkatan 3. Kemudian beliau menyambung tingkatan 4 dan 5 di SMU (A) Sulamiah Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan iaitu pada tahun 1980-1982. Pada tahun 1982-1984, beliau menyambung pengajiannya di SMU Maahad Muhammadi (L) Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan
Selepas menamatkan pengajian di tingkatan 6 atas, beliau telah ditawarkan menjadi guru di SMU Maahad Muhammadi (L) Kota Bharu oleh Yayasan Islam Kelantan. Beliau bertugas sebagai guru di SMU Maahad Muhammadi (L) pada tahun 1985-1995. Selepas sedekad berkhidmat di SMU Maahad Muhammadi (L), beliau telah bertukar ke Sekolah Maahad Amir Indera Petra Beris Kubor Besar, Bachok, Kelantan. Beliau telah bertugas di sekolah tersebut dari tahun 1996-Mei 2009. Beliau juga merupakan pengetua di sekolah tersebut. Pada 1 Jun 2009, beliau telah ditukarkan ke Yayasan Islam Kelantan sebagai pegawai Unit Kokurikulum.

Ustaz Yahya bin Daud merupakan Qari Malaysia pada tahun 1999. Kebolehan membaca Al-Quran telah diasas sejak kecil lagi oleh ayah beliau sendiri yang juga merupakan guru Al-Quran di kampungnya. Semasa di SMU (A) Nurul Huda, beliau sering diminta untuk membaca Al-Quran di majlis-majlis yang diadakan di SMU (A) Nurul Huda dan dari situlah bakatnya sebagai qari telah dicungkil. Pada tahun 1978, semasa di tingkatan 2, beliau telah dipilih untuk mengikuti kelas intensif tarannum Al-Quran anjuran kerajaan negeri Kelantan selama 3 tahun berturut-turut. Bermula dari saat itulah beliau telah mengikuti kelas-kelas tarannum Al-Quran dan menyertai pertandingan tilawah Al-Quran di peringkat daerah dan negeri. Sehinggalah pada tahun 1989, beliau menyertai pertandingan tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa. Dalam kedua-dua pertandingan tersebut beliau telah dinobatkan sebagai johan.

Beliau juga merupakan juri dalam pertandingan tilawah Al-Quran peringkat daerah dan negeri. Beliau merupakan salah seorang mentor bagi rancangan realiti Akademi Al-Quran musim kedua yang bersiaran di TV9. Beliau juga aktif dalam mengadakan kursus-kursus tarannum Al-Quran.   






1 comment:

  1. Semoga allah merahmati segala usaha ALLAHYARHAM ALHAQIRUL-FAQIR WAN AHMAD BIN WAN ABDULLAH & yg lain dlm membangunkan pusat pengajian nurul huda ini🤲🏻.

    ReplyDelete