Pentadbiran




     SEKOLAH MENENGAH UGAMA (ARAB) NURUL HUDA,KAJANG SEBIDANG TUMPAT KELANTAN



MAKLUMAT DIRI PENGETUA (SEMASA)



            



En. Mat Daud bin Awang merupakan pengetua yang kesembilan di SMU (A) Nurul Huda. Beliau mula berkhidmat di sekolah ini pada 3 Februari 2008 sehingga sekarang. Beliau berasal dari Kampung Periok, Chabang Empat, Tumpat, Kelantan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Chabang Empat, Tumpat, Kelantan. Beliau menyambung pelajarannya di tingkatan 1 hingga 6 bawah di Maahad Muhammadi Tumpat iaitu dari tahun 1988-1994. Kemudian beliau menyambung pelajarannya di peringkat ijazah di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dalam bidang Syariah Islamiah.  Sekembalinya beliau ke tanah air, beliau mula berkhidmat sebagai guru di SMU (A) Tarbiah Islamiah, Chabang Empat, Tumpat dari 3 Mac hingga 1 Julai 2005. Selepas itu beliau bertukar ke SMU (A) Diniah, Bongor, Pasir Mas dari 2 Julai 2005 hingga Februari 2006.

Pada Februari 2006 hingga 31 Disember 2006, beliau bertukar kembali ke SMU (A) Tarbiah Islamiah, Chabang Empat, Tumpat. Pada 1 Januari 2007 hingga 2 Februari 2008, beliau bertukar ke Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, Kg. Berangan,Tumpat. Selepas itu pada 3 Februari 2008 beliau bertukar ke SMU (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang dan berkhidmat sebagai pengetua hingga sekarang.

Sebagai pengetua di SMU (A) Nurul Huda, beliau mempunyai inspirasi dan harapan yang tinggi untuk menjadikan SMU (A) Nurul Huda sebagai salah sebuah sekolah yang terunggul dan dapat melahirkan modal insan yang berintegriti serta seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi.

  HASRAT DAN HARAPAN


En. Mat Daud bin Awang selaku pengetua SMU (A) Nurul Huda mempunyai hasrat dan harapan yang cukup besar untuk melihat sekolah ini maju dan mampu menjadi pemangkin utama bagi SMU (A) yang lain di seluruh negara selaras dengan pendaftaran SMU (A) yang dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang mana SMU (A) Nurul Huda merupakan salah sebuah sekolah yang tergolong sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Bagi rancangan jangka pendek, beliau amat berharap agar pihak kementerian dan Yayasan Islam Kelantan dapat menyediakan peruntukan kemudahan dan infrastruktur yang lengkap bagi memberi kelancaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu beliau telah mempunyai perancangan bagi mewujudkan tingkatan 4 di SMU (A) Nurul Huda selewat-lewatnya awal tahun depan. Oleh itu pertambahan kemasukan pelajar baru yang mendaftar pada tahun hadapan adalah diharapkan meningkat bagi merealisasikan perancangan yang telah dibuat. Beliau juga berharap agar pihak kementerian dan Yayasan Islam Kelantan dapat menyediakan jumlah guru agama dan akademik yang mencukupi bagi menampung pertambahan bilangan pelajar dan jumlah subjek di masa akan datang.

 Bagi rancangan jangka panjang, beliau ingin melihat SMU (A) Nurul Huda melahirkan remaja Islam yang seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi.  Harapan terakhir beliau ialah semoga SMU (A) Nurul Huda dapat menjadi pemacu ke arah mewujudkan ummah yang unggul dan gemilang.


                    PIAGAM PELANGGAN

Kami warga SMU (A) Nurul Huda dengan penuh azam dan kesungguhan berikrar dan berjanji dengan seluruh tenaga dan usaha kami untuk:


  • Menyediakan sistem pengajaran dan pembelajaran yang terbaik berasaskan budaya ilmu bagi memperkasakan masyarakat dan negara serta memenuhi matlamat konsep 1Malaysia.
  • Memberi peluang yang sama kepada setiap pelajar tanpa mengira latar belakang dan taraf hidup keluarga untuk memperolehi pendidikan yang berkualiti dan terbaik.
  • Menguruskan kerja dengan penuh beretika, amanah, dan komited.
  • Menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi serta berdedikasi, terlatih, berdisiplin, dan produktif.
  • Menyediakan prasarana-prasarana pendidikan yang selesa, lengkap dan memenuhi piawaian-piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Memastikan pihak sekolah sentiasa peka dan responsif kepada aduan, cadangan, dan keperluan pelanggan – pelajar, guru, masyarakat setempat, kementerian, dan Kerajaan.
  • Meningkatkan mutu dan martabat Sekolah Agama Bantuan Kerajaan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.



ASAL USUL NAMA SEKOLAH


SMU (A) Nurul Huda mendapat namanya pada tanggal 18 Oktober 1964 iaitu pada awal penubuhan lagi. Menurut masyarakat di kampung Kajang Sebidang, nama Nurul Huda ini dipilih oleh pengasasnya sendiri iaitu Allahyarham Alhaqirul-faqir Wan Ahmad bin Wan Abdullah. Nama Nurul Huda yang bermaksud cahaya hidayah diambil sempena nama sebuah Sekolah Agama Pondok di kampung Teliar, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan.



Sekolah Agama Pondok tersebut pernah menjadi tempat Allahyarham mendalami ilmu agama. Beliau ingin mengabadikan nama Sekolah Agama Pondok tersebut dengan mengasaskan sebuah sekolah di kampung kelahirannya dengan nama Nurul Huda. Ini kerana beliau tidak mahu nama Nurul Huda lenyap ditelan zaman.  


   
Lencana SMU (A) Nurul Huda telah diilhamkan sendiri oleh pengasasnya iaitu Allahyarham Alhaqirul-faqir Wan Ahmad bin Wan Abdullah. Pengertian pada lencana ini mempunyai maksud yang amat baik dan mendalam.
            Simbol buku dan perkataan “Iqra’” merupakan satu maksud yang berkait rapat iaitu ‘bacalah’. Perkataan tersebut merupakan perkataan pertama yang diucapkan oleh malaikat Jibrail kepada Rasulullah S.A.W. Peristiwa itu membuktikan bahawa ilmu merupakan elemen yang terpenting dalam kehidupan manusia.
            Warna hijau melambangkan warna-warna syurga, warna kesukaan Rasulullah serta sebagai warna keislaman. Manakala warna putih adalah warna kesucian hati para pendidik dalam menyebarkan ilmu. Warna biru pula bermaksud perpaduan yang erat wujud antara para pendidik dan pelajar-pelajar SMU (A) Nurul Huda. Warna kuning ialah warna Di-Raja dan merupakan lambang kedaulatan terhadap Sultan yang memerintah.

            Ungkapan bahasa arab ‘man sobharo zofaro’ bermaksud ‘siapa yang bersabar akan beroleh kejayaan’. Ungkapan ini amat sesuai dan bertepatan dengan agama Islam yang memang mahukan umatnya sentiasa bersabar dalam setiap kerja dan amal ibadat yang dilakukan kerana sabar itu sebahagian daripada iman.  




PELAN LOKASI
 


SMU (A) Nurul Huda terletak dalam jajahan Tumpat. Jarak sekolah ini dari bandar terdekat iaitu bandar Tumpat kira-kira 9.6 kilometer. Manakala jarak dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu ialah 22.4 kilometer. Dari segi politiknya pula, SMU (A) Nurul Huda terletak dalam kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Geting. Selain itu kedudukan sekolah ini terletak berhampiran dengan negara Thailand iaitu kira-kira 2.5 kilometer sahaja.




No comments:

Post a Comment